Jom lihat

Tuesday 30 October 2018

MENUNGGUMU~



Begitu lama aku menantikanmu,
Sama seperti hari-hari yang lalu,
Tidak berganjak walau seinci tanpa jemu,
Persis boneka yang terdampar di penjuru.

Sungguh aku menunggumu kembali,
Kala kaki melangkah longlai berdiri,
Melihat disebalik helaian tirai jerami,
Tiada tanda bahawa kau akan menjejaki.

Aku menatapi hari yang semakin berlalu,
Merenung detik masa yang kian cemburu,
Bersama secangkir kopi hangat kegemaranmu,
Berlegar memori indah suatu tika dulu.

Kata-kata semanis madu diungkap pada diri,
Janji-janji setinggi gunung dilempar ke mari,
Kehilanganmu memberi kesan yang tidak terperi,
Lalu ku pasung sepi kerna yakin kau kan kembali.


~ Mutiara_elFateh ~
2311 @ 301018

Sunday 30 September 2018

RINDU YANG BERTAMU ~



Tidak lagi mampu,
Bibir mungil itu mengungkap kata,
Tidak lagi mampu,
Wajah suci itu mengekspresikan rasa,
Ketika rindu datang bertamu,
Resah gelisah menjerut jiwa.

Terpenjara dalam sebuah ilusi,
Batin memberontak minta dilepaskan,
Terngiang-ngiang jeritan halus yang digari,
Tidak terperi walau sekelumit cuma.

Kehadiranmu tidak ku jemput,
Pemergianmu tidak ku halang,
Namun bisa buat diri tidak keruan,
Hingga hilang arah dalam menuju destinasi.

Begitu hebat penangan rindu,
Kadangkala bisa mejadi pembunuh,
Kadangkala bisa menjadi penawar,
Melengkapkan sebuah jiwa yang kekosongan.

Dalam pengembaraan menuju Tuhan,
Rindu yang bertamu dari pelbagai asal,
Dahi menyembah sujud ke bumi,
Doa dibisik dengan penuh kesyahduan.

Wahai sang perindu tegar,
Dirimu tidak keseorangan,
Di sebalik tirai sana,
Ada sang cinta yang sedang menanti,
Sedia menyambut dengan penuh pengharapan.


~Mutiara_elFateh~
2330 @ 300918

Monday 27 August 2018

HARAPAN ~




Teman,
Cuba kau dongakkan kepala ke langit sana,
Sang suria masih malu-malu menampakkan dirinya,
Gumpalan awan memutih bak kapas yang bergantungan.
Kawanan burung yang terbang bebas membelah angkasa,
Namun teman, mengapa kau tidak seghairah selalunya?

Teman,
Hidup ini satu perjuangan,
Dipenuhi mehnah dan tribulasi yang tiada henti,
Dihiasi gelagat manusia yang adakalanya bertopengkan syaitan,
Dilengkapi suka duka yang bakal mengusik kenangan di jiwa,
Namun teman, aku pasti akan datang satu hari yang terang.

Teman,
Sampai kapan kau ingin mensia-siakan harimu,
Membiarkan diri terperangkap dek halusinasi sendiri,
Seolah-olah segala harapan sudahpun mati,
Umpama tiada hari esok untuk menjadi pengganti,
Sedarlah teman, harapan tidak akan sirna selagi perjuangan diteruskan.

Teman,
Tatkala dirimu cuba melangkah teguh mendepani arus,,
Bakal terselit jerih payah yang datang bertamu,
Sehari-hari terus bangkit tanpa rasa jemu,
Terus mara hingga tiba ke destinasi yang dituju,
Tika itu percayalah kemenangan sudah menjadi milikmu.


Mutiara_elFateh
1048 @ 270818

Monday 23 July 2018

ABAH ~


Istimewa di hari kelahiranmu buat waliku,
Dia yang bukannya melahirkan diriku,
Namun dia yang memberi sinar kehidupan buat aku,
Juga yang pertama memperdengarkan
kalimah tauhid di telingaku.

Abah,
Dirimu ku sanjung dalam diam,
Kasih sayangmu kau beri tanpa ada secalit dendam,
Kau berkorban membanting tulang siang dan malam,
Demi membesarkan Puteri tunggalmu yang banyak ragam.

Abah,
Kau lelaki pertama yang aku rasa selamat tika berdua,
Kau cinta pertama yang aku peroleh setelah mama,
Kau pahlawan sejati buat aku yang terpingga-pingga,
Juga pelindung buat aku yang bertatih mengenal dunia.

Abah,
Entah kapan jasamu dapat kubalas,
Entah bila aku bisa membuatmu tersenyum puas,
Melihatkan dirimu yang asyik mencari nafkah tanpa culas,
Buatku tertanya bilakah waktu rehatmu yang berlalu dengan pantas?

Abah,
Walau badai telah menyembah bumi,
Biar seisi dunia telah bertempiaran lari,
Anakmu akan tetap tulus menyayangi,
Malah akan setia disisi hingga ajal menjemput nanti.


~Mutiara_elFateh~
 2309 @ 230718

Monday 25 June 2018

AKU BERPUISI ~




Lewat malam menanti dinihari,
Aku tenggelam dalam duniaku sendiri,
Lincah si jemari mengatur rentak selari,
Menyusun bait-bait aksara yang ada,
Mempamerkan sebuah puisi penawar jiwa.

Aku berpuisi,
Saat sepi sedang menerkam sukma,
Setia di sisi tanpa ada yang iri.

Aku berpuisi,
Saat bahagia menawarkan rasa,
Memahat kisah di ruang memori.

Aku berpuisi,
Saat derita merobek hati,
Membalut luka agar teguh mandiri.

Aku berpuisi,
Saat bibir tidak lagi mampu mengungkap kata,
Terkunci dengan tangisan yang tiada henti.

Dengan sebuah puisi,
Aku rakamkan sebuah kisah,
Aku sematkan sebuah kenangan,
Aku luahkan sebuah kehampaan,
Aku padamkan sebuah contengan.

Dengan sebuah puisi,
Aku belajar memujuk diri,
Aku belajar menghargai diri,
Aku belajar mencintai diri,
Kerna, puisi itu lebih dekat dengan hati.



~Mutiara_elFateh~

0211 @ 250618

Wednesday 30 May 2018

USIA ~




Hari demi hari berlalu pergi,
Siang dan malam silih berganti menguasai bumi,
Pepohon di laman mekar di bawah teriknya mentari,
Siulan burung menjadi teman di pagi hari.

Hari ini, Pada tanggal ini,
Bukanlah kelahiran yang ingin kau rayakan lagi,
Bukanlah ucapan jam 12 malam yang kau tagih pasti,
Bukanlah juga lambakan hadiah yang kau ternanti-nanti.

Hari yang ditunggu menjelma lagi,
Kini kau sedar, usia yang dititip Tuhan masih berbaki,
Makin hampir dengan kematian yang menjadi ngeri,
Pelbagai kenikmatan yang terpaksa dilepas pergi.

Dengan angka usia yang selama ini kau huni,
Kau mencintai, Kau merasai, Kau menikmati,
Akan setiap detik yang menjadi saksi,
Disulami mehnah yang sentiasa berada di sisi.

Dengan sejumlah usia yang masih tersisa rapi,
Kau belajar bahawa semua orang bisa dewasa sendiri,
Namun, apakah erti sebuah kematangan hakiki,
Jika hanya berlayar dalam kehidupan bagai sebuah mimpi?

Dengan tempoh usia yang dipinjam Ilahi,
Kau menelusuri perjalanan yang semakin sepi,
Cuba memaknai setiap kejadian yang menimpa diri,
Kerna kau sendiri yang menjadi Raja untuk mengecap cita tertinggi.


~Mutiara_elFateh~

0132 @ 300518

Sunday 29 April 2018

AKU JATUH CINTA ~






Aku cemburu pada si dia, 
Si dia yang bagiku romantis orangnya, 
Si dia yang pada hematku berseni orangnya, 
Bukanlah romantis meluahkan kata cinta pada pasangan, 
Bukan juga berseni dalam seni lukisan, 
Namun keromantisan dan kesenian yang dia punya, 
Terdapat pada setiap aksara penulisannya, 
Juga terselit pada setiap butir bicaranya.

Aku jatuh cinta pada setiap bait madahnya, 
Aku jatuh cinta pada kehalusan seni gaya bahasanya, 
Terngiang-ngiang di gegendang telingaku, 
akan kelembutan suaranya melantunkan kalimah demi kalimah, 
Betapa si dia begitu memartabatkan bahasa ibunda.

Wahai Engkau, si dia, 
Yang berjaya mencuri hati dan jiwaku dalam diam, 
Sungguh! Aku cemburu malah aku jatuh cinta, 
Bukan pada jasad tubuh badanmu, 
Bukan juga pada perwatakan matangmu,
Akan tetapi, 
Pada kehalusan seni penulisanmu, 
Aku kagum dengan indahnya caramu menyebarkan cinta. 

~ Mutiara_elFateh ~

1927 @ 300717  

 p/s : ditulis pada tahun lepas buat seseorang yang pernah jadi idola dalam penulisan puisi

Sunday 25 March 2018

#1 Pengurusan Masa




"Kak Syaff, cane akak bahagi masa akak eh?"
"Syafiqa, macam mana hang urus masa hang?"
"Teach me how to manage time"



Okay, sebenarnya dah lama nak reply soalan-soalan diorang ni dalam bentuk yang membebel sikit. haha. So, In shaa Allah. Here it is. My first bebel dalam blog ni. Tapi, Syaff takdak la nak kata someone yang memang gempak kebaboom pasal time management ni. Biasa- biasa ja. Budak biasa, budak yang sederhana, budak yang kuat main, kuat tido sama je kan. In fact, I never got a Dean's List result sepanjang study dekat UIA ni sama ada kat asasi atau pon degree. Soon in shaa Allah, doakan!  Cuma, Syaff cuba maintainkan CGPA tu atas 3.0 . Hehe.


"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran" (Surah Al-Asr)


Dalam Al-Quran sendiri dah disebut pasal masa. Fahamkan maksud Surah Al-Asr tu? Mudah sangat nak faham. :) 
Okay, tanak ulas panjang-panjang ayat quran tu. Bukanlah 'arif sangat. Sikit-sikit bolehlah.

Jap, taktau nak type dari mana. haha. Kita masuk cara-cara terus lah. boleh? boleh ke? bagi boleh jugak lah. hehe

Alright, apa yang selalu Syaff buat adalah dengan list kan segala benda yang kena buat. Tulis dalam planner. Planner? Mahai la nak beli. Dak, takyah pon beli mahal-mahal nuh. amik kertas A4 bahagi dua bahagian lepastu boh la 5 hari dalam setiap bahagian. Atau pun ikut la kreativiti masing-masing. Google kan ada. hiks! Actually, Syaff guna planner ni pon since sem satu degree. Masatu rasa macam "eyy banyaknya benda" . Syaff ni jenis tak reti dok diam. So i will join few societies and give a full commitment to them. Planner Syaff yang pertama tu macam yang diajar tadi. haha. Masuk sem dua, dapat planner free. haa! Mai 2018 ni, kita excited beli planner. Serious masa mula-mula planner tu sampai kat tangan. Macam cinta dibalas tu. eh!

Then, dah list kan? Susun la ikut keutamaan kita. As for Syaff, bukan setakat planner ja tau. Satgi pi buat pulak table lawa- lawa kat kertas A4 lepastu tempek kat board. YES!! Syaff bukan jot down semua tu kat satu tempat ja. Merata! Tapi sama. Yang bezanya kalau dalam planner, mula-mula by year dan month, lepastu kalau kat board by week pulak, kadang dekat handphone by day. Ada orang dia boleh main simpan dalam memori dia ja. Takpala, long term memory. Ada jugak yang kata, yang ingat, buatlah. Yang tak ingat tu. erm sorry! Haihla. Dah kalau jenis pelupa, tulis kat mana2-mana yang senang tengok. ni nak marah ni

Lepas dah susun ikut keutamaan tu, follow la apa yang dah di plan tu. Kalau tak follow baik tak payah susun. boleh skip step tu, main list ja. Lepastu buat ikut suka. Tengo-tengok kerja yang datelinenya awal tak sentuh lagi. Yang sebulan lagi eh dah siap semalam. Haa! Cemana tu??
Bila kita follow apa yang kita plan. Tu menunjukkan yang kita ni disiplin.



"When you planned on something, you need to follow it. It is what we called discipline"


Tu je la step penting dia. Step akhir sekali, dah berjaya laksanakan apa yang dirancang. Cer potong setiap satu. Lepastu kan, kalau dalam satu list tu banyak yang dah dipotong. Weh!! Bahagia!! I did it bak kata omputeh. haha. For my self kan, ada lagi step yang akan dilakukan lepas acara memotong kek tu. eh!
I will reward myself. Self-reward hengko. Sapa lagi weh kat dunia ni nak hargai setiap titik peluh yang korang tumpahkan demi menyiapkan kerja-kerja tu. Yang orang tau, kerja siap. Orang lain tak ambik tau pon jerih payah, kau stress ke kau sakit ke time buat semua kerja tu especially when it comes to group project. So, so. Kasi la hadiah kat diri tu sikit. Takyah mahal-mahal sampai melancong ke apa. itu kalau banyak duit silakan. Tapi untuk Syaff yang biasa-biasa ni , nak reward diri adalah dengan makan something yang jarang makan or keluar outing.Yer, Syaff boleh meroyan nak keluar outing bila dah lama sangat terperuk dalam UIA ni. Dapat keluar pon happy tau, macam dapat chocolate dari buah hati. eh! 


Tak dinafikan, dalam dok plan ni pon mesti ada yang tak kena. Misalnya dari pihak lain. Ya, sebab satu pihak, habis rosak semua plan. Kadang bukan sehari sampai seminggu sebulan punya planning lari habis. Tapi, dalam kita merancang. Ada Allah sebaik-baik perancang kan? 


... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;  Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah. 216)

So, tu je rasanya nak bebel. haha. Benda biasa kan ni? Kalau rasa nak follow, follow lah. :D



"If you fail to plan, you are planning to fail." - Benjamin Franklin


"Jaga masa yang kau punya, dan jaga masa orang lain yang kau pinjam" 



~Mutiara_elFateh~
2229 @ 250318


Thursday 22 March 2018

EPISOD KEHIDUPAN ~




Ketika malam semakin larut,
Terperangkap aku di celahan sunyi,
Menapak di lorong sepi,
Sendiri, Tanpa ada yang menemani.

Fikiranku menerawang menjelajah angkasa,
Menembusi setiap lapisan langit yang ada,
Merentasi kemilau cahaya bintang yang terang,
Terjerat dalam kekosongan sebuah harapan.

Langkah longlai aku teruskan,
Meski kapan saja bisa tersungkur ketanah,
Aku..Aku gagahi jua,
Mempertaruhkan segala kudrat yang berbaki.

Igauan semalam sering menghantui,
Kerap menjadi mimpi yang tidak diundang,
Terpaku menatap ilusi kesendirian,
Seakan tercampak dalam sebuah kehampaan.

Fajar menyingsing di keheningan pagi,
Tirai aku lebarkan melihat suasana,
Ada bisikan kata peransang,
Ada aura yang menampar jiwa.

Terukir segaris senyuman penyambut bahagia,
Menghempaskan segala khayalan kepahitan,
Giat mencari sebuah harapan yang sirna,
Kerana kebahagiaan itu milik kita.

~ Mutiara_elFateh ~
0009 @ 220318

Friday 16 February 2018

MEMOIR ~



Tika senja pingin melabuhkan tirainya,
Tika jemari ligat menggerakkan pena yang tergenggam,
Terkumat-kamit sepasang bibir mulus itu melantunkan kata cinta,
Terbayangkan fatamorgana indah yang menjadi santapan mata,
Terbuai-buai dek memori yang menggamit jiwa,
Lantas monolog mula menguasai diri si dia.

Kau datang menjengah seperti halilintar yang memanah langit,
Kau pergi bak bayangan diri yang lenyap di sebalik cahaya,
Meninggalkan beribu kesan dan pesan yang menjadi taruhan,
Menggugah rasa terpendam yang makin dalam,
Berperang emosi dalam menyusun setiap kepingan yang ada.

Ada serpihan cinta yang menerkam atma,
Ada secarik gelisah menusuk ke sukma,
Ada segaris senyuman hinggap bersama,
Bertaut semuanya menjadi sebuah perasaan yang namanya rindu,
Sukar diterjemahkan melalui lisan mahupun tindakan.

Pertemuan dan perpisahan sudah menjadi aturan,
Setiap detik harus dihargai sebaiknya,
Sebelum bertukar menjadi kenangan yang menghantui jiwa,
Kerna, memori yang tercipta punya sejarah tersendiri,
yang bakal mengusik benak, lalu mengganggu mimpi malammu.


Mutiara_elFateh
 1727 @ 110218

Monday 1 January 2018

365 HARI ~



365 hari,
Umpama helaian kertas putih yang dibukukan,
Setiap helaian itu dipenuhi dengan tulisan serta lukisan,
Kata-kata dicoret, warna-warna dilakar,
Memenuhi segenap inci ruang yang ada,
Kini tiada lompongan putih di situ lagi.

365 hari,
Persis satu rangkaian episod drama,
Setiap episodnya mempunyai ragam dan tingkah berbeza,
Senyuman terukir gembira, tangisan menemani sepi,
Membuatkan kisah disetiap episod memberi makna,
Lalu menjadi kenangan yang tersemat rapi.

365 hari,
Setiap darinya pasti punya pengajaran,
Ibrah buat diri sebagai khalifah di muka bumi,
Juga buat mereka yang mencari erti,
Kelangsungan hidup tetap diteruskan,
Walau badai mendatang tanpa henti.

365 hari,
Terkadang dihiasi tawa yang tiada henti.
Terkadang dipenuhi tangisan yang tiada penghujung,
Terkadang terselit amarah yang tidak dikawal,
Terkadang dilengkapi dengan emosi yang tidak disangka,
Melengkapkan dan menyerikan lagi sebuah perjalanan cerita.

365 hari,
Ramai yang datang, ramai juga yang pergi,
Yang datang membawa seribu satu sinar,
Yang pergi masih tetap menjadi asbab kekuatan diri,
Moga di syurga nanti, akan berkumpul semula,
Sama-sama mengimbas kembali segala kenangan manis bersama.


365 hari,
Pengembaraanya kini bakal menemui garisan penamat,
Segala jatuh bangun, naik dan turun akan tersimpan kemas,
Walau buku itu sudah lusuh dipenuhi contengan,
Terlalu sesak dengan campuran aksara, warna dan juga lakaran.
Namun ia sebuah buku yang istimewa khusus buat si penulis,
Sebuah ceritera kehidupan yang tidak bisa ditiru sesiapa,
Juga tidak bisa diperbetulkan jika punya kesalahan sebelumnya,
Yang hanya bisa ditambah baik hanya pada helaian yang baru.



Setahun yang bermakna,
Kini aku sudah bersedia menyemak helaian pertama pada buku yang baru,
Sudah sedia untuk memegang watak spontan pada episod yang baru.


Setahun yang akan datang,
Harus aku tempuh sebaik mungkin,
Harus aku tabah dalam setiap yang terjadi,
Harus aku kuat dalam perjuangan yang ada,
Harus aku jadikan ia sebagai sesuatu yang lebih baik,
Harus aku datangkan dengan semangat yang tinggi,
Harus aku hadirkan kasih sayang yang tanpa henti.


Sayonara 365 hari untuk 2017,
Ahlan wasahlan 365 hari untuk 2018,
Moga lebih baik,
Moga cinta terus tersebar,
Moga masih utuh mencari redha Illahi.




~ Mutiara_elFateh ~
2257 @ 311217